Remaja  

Saturday, February 19, 2011

Remaja dan kesantunan

KESANTUNAN dalam konteks remaja bermakna sifat dan pekerti yang tinggi, berbudi bahasa dan tabiat beradab. Kesantunan tidak sahaja merupakan cerminan budaya timur tetapi anjuran Islam. Kesantunan menjadikan remaja mempunyai rasa tertib yang tinggi dan berhemah dalam melakukan sesuatu. Kesantunan adalah cerminan watak yang boleh dijadikan sumber ikutan juga teladan. Kesantunan juga menjadikan remaja bangsa beradab dan mampu membina budaya tinggi iaitu tamadun.

Dibangkitkan isu kesantunan ini kerana terdapat sebilangan remaja yang hilang pedoman, akhlak dan integriti diri.

Jiwa mereka kosong dengan kefahaman sejarah dan budaya serta lompong dengan ilmu agama dan keinsafan diri.

Lalu budaya popular daripada acuan Barat dijadikan sandaran maju dan moden. Sikap berpoya-poya, rasa hilang malu dan adab, melanggar tertib dan peraturan, hilang malu dan sopan menjadi sebahagian yang melatari watak remaja.

Remaja seperti ini mudah cair dengan pengaruh negatif dari Barat.

Remaja seperti ini hanya memikirkan kepentingan diri dan bukan kepentingan orang lain. Selalunya mereka tidak ada rasa syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada nikmat kehidupan yang diperolehi.

Kesantunan Terhadap Ilmu

Kesantunan bermula dengan menyantuni ilmu-ilmu yang bermanfaat supaya pematangan akal dan pemerkasaan diri berlaku dengan baik. Ilmu yang bermanfaat umpamanya boleh didapati dalam khazanah tamadun Islam.

Pada masa sama, ilmu-ilmu berbanding yang bermanfaat dari Barat dan Timur harus juga dicari. Menyantuni khazanah Islam dan faktor-faktor di luar lingkungan adalah amat penting supaya konsep ilman nafi'a (ilmu-ilmu yang bermanfaat) dapat disuburkan dalam kehidupan.

Kelompok remaja seharusnya menjadikan ilmu Islam dan ilmu berbanding sebagai faktor penting dalam menentukan kejayaan pembangunan dan kemajuan.

Faktor globalisasi yang sedang mendatangi umat Islam kini menuntut persiapan yang rapi di kalangan remaja untuk menguasai ilmu pengetahuan yang pelbagai supaya nantinya umat Islam tidak hanya menjadi pengguna kepada modal orang lain tetapi harus menjadi penyumbang kepada kekuatan tamadun manusia.

Keduanya, kesantunan harus terhubung dengan memiliki kekuatan akhlak dan jati diri. Dengan kekuatan akhlak, para remaja tidak mudah cair dengan pengaruh budaya luar yang negatif.

Memiliki jati diri yang Islami boleh menjadikan para remaja orang-orang yang berprinsip di samping memiliki wibawa diri yang dihormati. Isu yang berbangkit kini ialah ramai di kalangan remaja islam sedang terjebak dalam kemelut akhlak yang mencemaskan, sedangkan kelemahan umat Islam di mana-mana memerlukan keterampilan generasi muda yang berpotensi untuk melakukan perubahan.

Ramai yang berpendapat bahawa memiliki peribadi yang baik dan kesantunan yang tinggi merendahkan sifat berani dalam diri.

Sering sahaja mereka diperkecilkan dan dianggap tidak berani menyaingi orang lain walaupun mempunyai tahap ilmu yang tinggi.

Tanggapan itu salah kerana keteguhan akhlak dalam watak dan tingkah laku menjadi prasyarat penting untuk menentukan warisan masa depan negara berada di tangan orang-orang yang berintegriti. Dengan ilmu dan akhlak yang mulia, potensi remaja akan lebih terserlah dan keberanian menegakkan sesuatu yang benar disertai dengan ilmu yang terarah dan bermanfaat.

Perkara ketiga dalam proses penyantunan ialah keupayaan remaja melatih diri supaya mempunyai upaya berfikir dan cara pendekatan yang strategik.

Strategik dalam erti kata para remaja harus mampu mengimbangi antara idealisme dan realiti. Idealisme dalam hidup remaja adalah sesuatu yang amat penting.

Idealisme tanpa menyantuni realiti akan mewujudkan keadaan yang tidak seimbang. Idealisme cuba melihat sesuatu dalam keadaan serba sempurna tetapi realiti masyarakat tidaklah sepenuhnya sempurna.

Oleh itu antara visi dan misi (idealisme) bagi mencapai sesuatu matlamat dalam perjuangan hidup harus mengambil kira faktor ilmu, upaya guna tenaga, alat-alat bantu, kekuatan teknologi supaya pendekatan yang diambil menjadi seimbang. Kalau tidak, para remaja hanya seronok dengan pendekatan pidato-pidato, reaktif terhadap isu tetapi pro-aktif menyantuni penyelesaian.

P/S

Bersamalah kita membentuk sahsiah diri yang baik..

RENUNGKAN LAH..

AddThis Social Bookmark Button


0 comments: to “ Remaja

Lata

Lata

ANDA PUAS MEMBACA...?