PELANCONGAN..  

Friday, January 28, 2011


Keindahan Makassar

JIKA Manado di Sulawesi Utara dikaitkan dengan “bubur dan bibir Manado” kerana wanitanya yang dikatakan menawan, Makassar yang terletak di Sulawesi Selatan pula lebih terkenal kerana dengan sejarah kesultanan Gowa yang mempunyai hubungan erat dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sejarah Kota Makassar dan pertalian darah di antara pemimpin nombor satu negara dengan kehebatan kesultanan Gowa terutama Sultan Hasanuddin itu amat menarik perhatian penulis sepanjang berada di kota tersebut selama tiga hari.

timur semenanjung amat merasakan pertalian rapat dengan wilayah Indonesia Timur itu, mana tidaknya kuih tradisionalnya hampir sama dengan makanan di Kelantan, manisnya amat terasa.

Kota yang dahulunya dikenali sebagai ‘Ujung Pandang’ itu dihuni kira-kira dua juta penduduk ini yang majoritinya dari empat etnik utama iaitu, Bugis, Makassar, Mandar dan Toraja amat sibuk. Ia merupakan bandar pelabuhan serta pintu masuk utama ke Indonesia Timur.

Agak unik keempat-empat etnik tersebut mempunyai bahasa tersendiri yang amat berbeza di antara satu sama lain. Tetapi ia tidak menjadi masalah untuk mereka berhubung dalam urusan seharian.

Bagaimanapun agak sayang kerana kota yang mempunyai sejarah dan destinasi pelancongan yang menarik ini tidak mendapat perhatian daripada pelancong. Mana tidaknya agak jarang bertemu dengan ‘mat salleh’ seperti mana di kota-kota lain di Indonesia.

Taman tema

Makassar bukan hanya kaya dengan sejarahnya. Di kota ini juga menyediakan tempat hiburan untuk keluarga. Taman tema, Trans Studio memberikan segala-galanya kepada tetamunya terutama anak-anak kecil.

Taman yang bertemakan From TV to Reality ala Disney Land itu akan mereaslisasikan semua yang ada peti televisyen ke dunia realiti mudahnya, dunia khayalan menjadi kenyataan buat seketika.

Mungkin masa empat jam berada di sini tidak mencukupi tambahan pula berfantasi dengan watak Sponge Bob bersama rakannya, Patrick dalam layar 4-D malah teater muzikal Jason Mencari Cinta yang diadaptasi dari Cinderella cukup mengujakan penontonnya.

Ia dikatakan taman tema berbumbung (indoor) paling besar di dunia. Permainan, persembahan, hiburan dan lain-lain boleh menjadi kunci tarikan pelancong terutama yang datang bersama keluarga. Pusat beli-belah moden dan eksklusif di situ pula mampu menarik golongan pertengahan dan atasan untuk berbelanja.

Dari berfantasi ke alam realiti, Makassar juga menghidangkan wadah alam yang amat menyenangkan dengan desiran Air Terjun Bantimurong yang terletak di daerah Maros, iaitu kira-kira satu jam perjalanan memandu dari kota Makassar. Sekurang-kurangnya, bunyi desiran air terjun dan unggas hutan dapat mendamaikan hati dan menenangkan fikiran.

Apa yang uniknya lokasi ini adalah ia menjadi habitat kepada rama-rama, burung dan serangga. Terdapat kira-kira 150 spesies rama-rama langka iaitu daripada spesies Papillo Androles yang tidak ditemui di daerah lain.

Bagi mereka yang berat jodohnya dan ingin cepat mendirikan rumah tangga di sini mungkin destinasinya.

Ini kerana terdapat mitos gua mimpi yang terletak di kawasan tersebut mampu mempercepatkan jodoh pengunjungnya tetapi sejauh mana kebenarannya masih tidak diketahui.

Makanan

Kota Makassar yang dikenali sebagai Kota Serambi Madinah di kalangan penduduk Bugis menyajikan pelbagai makanan laut yang amat enak.

Di sini juga terkenal kerana makanan laut yang segar dan murah. Selain itu makanan daerah seperti coto Makassar , sup konro, barongko, es pallu buntung dan pisang epe atau pisang bakar juga amat enak apatah lagi dibuat juadah untuk berbuka puasa.

Apa yang menarik, harga makanan laut seperti ikan, ketam dan udang di Makassar cukup murah jika dibandingkan dengan Jakarta dan Kuala Lumpur.

Banyak makanan dari sumber laut yang sukar diperoleh di negara kita juga terdapat di Makassar memandangkan kedudukan Pulau Sulawesi yang dikelilingi laut luas.

Coto Makassar yang disajikan bersama ketupat dan Sup Konro iaitu tulang rusuk lembu atau kerbau yang dibakar sebelum dijadikan sup dan dimakan bersama nasi putih serta sambal. Sup Konro banyak dijual di sekitar Karebosi dan Jalan Ratulangi.

Tempoh tiga hari berada di Kota Makassar atau jolokannya Kota Anging Mamiri ini tidak mencukupi untuk melihat semua destinasi pelancongan.

Dalam tempoh waktu tersebut kami agak bertuah kerana diberi layanan sebagai tetamu negara oleh Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Kota Makassar, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia yang mengirimkan dua pengiring, Dita dan Eni serta Kaunselor Ekonomi Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur, Endang Rusmihaty yang turut bersama di sepanjang lawatan ini.

Pun begitu, penulis rasa terkilan tidak berkesempatan untuk berkunjung ke Tana Toraja dan beberapa buah pulau seperti Samalona dan Kayangan. Satu hari nanti penulis akan pasti ke sana untuk melengkapkan perjalanan di Makasar.

Hampir terlupa, kota ini juga menyediakan tempat membeli belah seperti barang kemas yang dikatakan bermutu boleh ditemui di kedai-kedai sepanjang Jalan Somba Opu, sebaris dengan kedai-kedai kraf tangan.

P/S

Seronoknya…!!!! Jom melancong…!!

RENUNGKAN LAH..

AddThis Social Bookmark Button


0 comments: to “ PELANCONGAN..

Lata

Lata

ANDA PUAS MEMBACA...?